Showing posts with label KARYA PELAJAR. Show all posts
Showing posts with label KARYA PELAJAR. Show all posts

13 May 2009

Isteri Anugerah Tuhan

SEPANJANG melayari hidup bersama suami, pasti ada hati terluka. Bahkan, ada isteri menjeruk rasa dengan perlakuan suami yang ada kalanya menyakitkan.

Dalam melayari hidup berdua, tidak hanya menemui yang indah saja. Hakikatnya, perjalanan hidup berdua sering menemukan pelbagai rencah kehidupan - suka, duka, pahit, manis, keliru, persengketaan, berbaik semula, pujuk rayu dan pelbagai.

Mencari suami terbaik selain mengakui hakikat yang jodoh anda dengannya, harus diteliti beberapa perkara supaya bersiap sedia menempuh apa saja cabaran mendatang. Ibarat kata pepatah, untung sabut timbul untung batu tenggelam, sebenarnya rumah tangga bagaikan satu percaturan dalam menguji kekuatan cinta anda berdua.

Sebagai isteri, anda perlu bersikap terbuka dan tidak mengharapkan hanya suami yang memacu perjalanannya sedangkan anda juga ada tanggungjawab sendiri untuk memastikan semuanya berjalan bagaikan dirancang.
Apapun, berikut adalah tanggungjawab yang seharusnya dipikul mereka yang bergelar suami
Sangat bertanggungjawab ke atas isteri, anak dan orang di bawah jagaannya termasuk ibu bapa yang sudah tua serta orang gaji, jika ada.

Tanggungjawab dengan takutkan Tuhan adalah lazim melazimi. Orang yang takutkan Tuhan sangat bertanggungjawab. Orang yang benar-benar bertanggungjawab adalah kerana takutkan Tuhan.

Memberi ilmu dan didikan agama kepada isteri dan anak dengan sempurna.

Menyediakan nafkah zahir seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal dan kesihatan kepada isteri serta anak. Namun, dalam nafkah yang asasi itu, jika suami cuai ia boleh dituntut. Begitupun, adanya tolak ansur adalah lebih baik dan lebih utama.

Suami tidak berkasar terhadap isteri dan anak. Selaku ketua keluarga, suami lebih utama menonjolkan sikap kasih sayang dan prihatin. Suami selaku pendidik, pendidikan hanya berjaya dengan kasih sayang dan sabar.

Sekiranya isteri atau anak membuat salah, hendaklah diberi tunjuk ajar. Secara fitrahnya anak isteri tentulah tidak suka berbuat salah. Jika ia berlaku, ayah atau suami perlu memberi tunjuk ajar kerana kemungkinan mereka membuat salah kerana kecetekan ilmu, kurang bimbingan, terleka, terlupa serta dorongan perasaan dan nafsu.

Suami hendaklah bertimbang rasa kepada isteri. Amat jarang, tetapi bukan tiada langsung wanita yang kuat jiwa dan akal melainkan mereka lebih didorong perasaan. Sebab itu wanita amat mudah marah, merungut, merajuk serta membebel dan situasi mereka itulah yang memerlukan suami bertimbang rasa.

Ketika isteri kesedihan, suami hendaklah menghiburkannya. Tumpang simpati memang disuruh, tetapi jangan turut terbawa-bawa dengan kesedihan isteri..

Akibatnya akan bertambah menjadi-jadi dan berpanjangan kesedihan isteri. Kesedihan yang berpanjangan sedikit sebanyak boleh menjejaskan urusan rumah tangga. Suami perlu menghiburkan isteri dengan pelbagai cara, umpamanya bawa berjalan, makan angin dan ziarah kawan.

Suami sentiasa memberi kerjasama terhadap isteri. Ertinya dalam urusan rumah tangga, karier dan anak, perlu mendapat kerjasama yang baik daripada suami. Jangan dibebankan sepenuhnya kepada isteri.

Secara automatik berlaku perkongsian dalam kehidupan berumah tangga.

Suami tidak memandang kepada wanita lain. Memandang di sini ada dua maksud iaitu memandang dengan mata kasar secara lahiriah dan memandang dalam erti kata memberi perhatian atau perasaan terhadap wanita lain.

Antara hikmah larangan ini ialah supaya hati suami tertumpah kepada isterinya saja sekali gus suami tidak membandingkan wajah dan perangai isteri sendiri dengan wanita lain.

Isteri itu adalah anugerah Tuhan yang sudah menjadi ketetapan sejak azali lagi, terimalah seadanya.

Berbincang bersama. Dalam soal masalah atau perancangan keluarga, elok dibincangkan bersama supaya terjamin memperoleh penyelesaian tepat dan memuaskan. Setiap aspek difahami bersama supaya sama-sama dapat menerimanya.

Kejahatan, kelemahan dan kesilapan isteri tidak didedahkan kepada orang lain. Dalam kes hendak membuat aduan sekalipun, ia harus dibatasi tidak sampai mencemarkan maruah isteri.

Sentiasa merendah diri kepada isteri atau dengan istilah lain, tawaduk. Merendah diri bukan bererti meletakkan diri hingga boleh dihina isteri. Tawaduk ertinya tidak ego, sombong dan berasa diri segala-galanya.

Perlu diingat, tiada manusia yang benar-benar sempurna dalam segala hal. Sebab itu perlu tawaduk kepada isteri kerana dalam banyak aspek, seorang suami memerlukan isteri. Banyak perkara suami tidak upaya berbuat dan bersabar seperti yang dilakukan isteri.

Tawaduk juga bermaksud berlapang dada serta boleh bahkan bersedia menerima teguran, nasihat dan ingatan daripada isteri.

Suami perlu bertolak ansur dengan isteri dalam pelbagai aspek untuk kehidupan berdua bersama anak-anak.

Suami sentiasa kasih kepada isteri. Fitrah semula jadi manusia lebih mudah mengasihi orang yang ada pertalian dan orang yang berjasa.

Contohnya ibu bapa mengasihi anak dan sebaliknya. Antara kedua-duanya ada pertalian. Pengikut lebih mudah mengasihi ketua atau pemimpinnya kerana pemimpin banyak berjasa, begitulah sebaliknya.

Suami sentiasa belas kasihan terhadap isteri. Dalam kehidupan wanita moden, mereka mendakwa ada segala-galanya yang mereka perlukan. Bahkan apa saja yang mereka mahu, mereka mampu memikirkannya.

Namun sebenarnya, mereka tidak boleh menafikan fitrah semula jadi iaitu memerlukan suami sebagai tempat berlindung, mengadu, berkongsi perasaan, tempat merintih dan tempat memperoleh serta menumpahkan kasih sayang.

Ketiadaan suami dalam hidup seorang wanita, kekosongan tetap dirasai terutama perasaan kerana ia fitrah semula jadi.

03 April 2009

Cahaya Hati


Hati atau roh adalah hakikat kejadian manusia, kerana itu ia diberi keupayaan untuk merasa senang dan susah. Ia sangat sensitif terhadap apa yang berlaku, yang didengar, dilihat dan dirasai. Dari sanalah ia menentukan sikap manusia samada positif atau negatif.

Memang hakikat pencipaan hati oleh Allah SWT adalah suatu yang maha ajaib. Kelajuan perjalanan hati tidak terhitung dan ruang gerakannya tiada had. Hati atau roh tidak mati sewaktu jasad lahir manusia mati. Hati berpindah ke alam Barzakh dan seterusnya ke akhirat. Bagi orang mukmin yang suci hatinya dia dapat melihat di syurga kelak. Itulah dia hati manusia. Ia juga disebut roh. Tempatnya ialah di dalam hati jasmani. Hati rohaniah ini umpama burung yang bersangkar di dalam hati jasmaniah. Hati manusia berbeza dengan hati haiwan kerana hati manusia boleh menerima perintah dan larangan; ia disebut rohul amri. Manakala hati haiwan tidak bersifat demikian, ia disebut rohul hayah.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika baik daging itu, baiklah manusia. Jika jahat daging itu jahatlah manusia. Ketahuilah, itulah hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim

sebagai manusia sering diuji dengan pelbagai cabaran dalam kehidupan seperti sakit, kesusahan hidup dan kematian, ketabahan manusia menghadapi ujian Allah banyak bergantung kepada keimanan seseorang.

Allah SWT berfirman bermaksud, "Kamu sekalian Kami uji dengan keadaan serba ketakutan, lapar dan serba kekurangan, baik mengenai harta, jiwa, mahupun mengenai hasil tanaman, dan buah-buahan, gembiralah orang yang sabar, tidak ditimpa sesuatu musibah, mereka (berserah diri kepada Allah) dengan mengucapkan: kami kepunyaan Allah dan kepada-Nya kami kembali." (Al-Baqarah: 156).

Ayat ini jelas menunjukkan kehidupan manusia itu sentiasa diuji dengan pelbagai cubaan. Ujian ini bertujuan melihat kesabaran pada hamba-Nya

Setiap ujian dan dugaan dalam kehidupan akan mendidik seseorang itu menjadi manusia sejati iaitu beriman, bertakwa, serta meneruskan tujuan hidup mencari keredaan Allah. Oleh itu, kita digalakkan meminta pertolongan hanya kepada Allah.

Dalam kehidupan, kita tidak berjaya mendapatkan apa yang kita sukai, melainkan kita bersabar pada perkara yang kita tidak senangi.

Sesungguhnya, sifat sabar dapat memaafkan kesalahan orang lain dan juga tabah menjadikan hati tenang, fikiran dan perasaan sanggup menahan penderitaan dihadapi dalam kehidupan penuh pancaroba.

Perbanyakan zikrullah kerana zikirullah adalah antara amalan yang dapat menghidupkan hati, memberikan ketenangan rohani dan mengundang rahmat Allah. Banyak ayat al-Quran dan hadis nabi yang menceritakan kepentingan zikrullah dan kesannya kepada

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah (mengingati Allah). Ketahuilah dengan zikrullah itu hati akan tenang tenteram. (Ar-Rad:
28).

Firman Allah: Beruntunglah orang yang membersihkan hatinya dan rugilah siapa yang mengotorinya. (Asy - Syams: 9



02 May 2008

Bunga yang mekar...

Dirimu digelar penyeri dunia-akhirat
Hadirmu pelengkap sirah manusia agung
Kelembutanmu bukanlah kelemahan
Akhlakmu menjadi peneduh harapan
Buat insan yang diciptakan

Bersuamikan Saidina Ali bukanlah satu kebanggaan yang menjanjikan kekayaan harta. Saidina Ali yang merupakan salah seorang daripada empat sahabat yang sangat rapat dengan Rasulullah s.a.w., merupakan kalangan sahabat yang sangat miskin jika dibandingkan denga sahabat yang lain.

Fatimah yang mewarisi akhlak ibunya Siti Khadijah tidak pernah membebani dan menyakiti suami dengan kata- kata atau sikap. Sentiasa senyum menyambut kepulangan suami hingga hilang separuh masalah suaminya.

Bukan Saidina Ali tidak mahu menyediakan seorang pembantu untuk isterinya, tetapi sememangnya beliau tidak mampu berbuat demikian. Dengan mas kahwin 400 dirham hasil jualan baju perang kepada Saidina Usman Ibnu Affan, Saidina Ali memulakan penghidupannya dengan wanita yang sangat dimuliakan Allah s.w.t.

Meskipun begitu, Fatimah cukup memahami akan kedudukan suaminya itu, malah beliau tidak pernah merungut dan saban hari bertungkus-lumus menguruskan anak-anak, memasak, membasuh dan menggiling tepung, dan apa yang lebih memenatkan lagi apabila terpaksa mengandar air berbatu-batu jauhnya sehingga kelihatan tanda di bahu kanan dan kirinya.

Suatu hari, ketika Rasulullah s. a. w. masuk ke rumah anaknya, didapati bahawa puterinya yang berpakaian kasar itu sedang mengisar biji-biji gandum dalam linangan air mata. Fatimah segera mengesat air matanya tatkala menyedari kehadiran ayahanda kesayangannya itu.

Lalu ditanya oleh baginda, "Wahai buah hatiku, apakah yang engkau tangiskan itu? Semoga Allah menggembirakanmu." Dalam nada sayu Fatimah berkata, "Wahai ayahanda, sesungguhnya anakmu ini terlalu penat kerana terpaksa mengisar gandum dan menguruskan segala urusan rumah seorang diri."

Baginda tersenyum seraya bangun mendapatkan kisaran tepung itu. Dengan lafaz Bismillah, Baginda meletakkan segenggam gandum ke dalam kisaran itu. Dengan izin Allah, maka berpusinglah kisaran itu dengan sendirinya.

Hati Fatimah cukup terhibur dan merasa sangat gembira dengan hadiah istimewa daripada ayahandanya itu. Jelas, baginda Rasulullah s.a.w mahu mendidik puterinya bahawa kesusahan bukanlah penghalang untuk menjadi wanita solehah.

Ayahandanya yang penyayang terus merenung puterinya dengan pandangan kasih sayang, "Puteriku, mahukah engkau kuajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kau pinta itu?" "Tentu sekali ya Rasulullah," jawab Siti Fatimah kegirangan. Rasulullah s. a. w. bersabda, "Jibril telah mengajarku beberapa kalimah.

Setiap kali selesai sembahyang, hendaklah membaca ´Subhanallah´ sepuluh kali, Alhamdulillah´ sepuluh kali dan ´Allahu Akbar´ sepuluh kali. Kemudian ketika hendak tidur baca ´Subhanallah´, ´Alhamdulillah´ dan ´Allahu Akbar´ ini sebanyak tiga puluh tiga kali."

Ternyata amalan itu telah memberi kesan kepada Siti Fatimah. Semua kerja rumah dapat dilaksanakan dengan mudah dan sempurna meskipun tanpa pembantu rumah. Hadiah istimewa itu daripada Allah s.w.t buat hamba-hamba yang hatinya sentiasa mengingatiNya.

Pernah ketika Nabi s.a.w. dihina, dimaki hamun, malah diletakkan najis binatang ketika Nabi s.a.w. sedang sujud, menyembah Allah s.w.t, dengan tangisan kesedihan Siti Fatimah membersihkan tubuh Nabi s.a.w. daripada kotoran yang ditaburkan oleh kaum Qurraish.

Siti Fatimah Azzahra telah mengorbankan seluruh hayatnya untuk kepentingan Islam dan Ummatnya. Siti Fatimah dengan setianya mendampingi suaminya Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib dalam keadaan suka dan duka.

Beliau telah berjaya mendidik kedua anakandanya Hasan dan Husain dengan akhlak dan budiperkerti yang mulia. Siti Fatimah senantiasa berusaha membantu fakir miskin dan mereka yang sangat mengharapkan pertolongan.

Beliau yang dibesarkan dalam asuhan dan didikan langsung ayahandanya yang tercinta Rasulullah s.a.w. menyebabkan tingkah laku dan tabiatnya menyerupai perwatakan ayahandanya.

Kehidupannya yang zuhud juga dan tekun beribadah adalah sifat yang dimiliki Fatimah Azzahra. Beliau menghayati hubungan yang ikhlas dengan Allah s.w.t.

Sifat mulia yang dimilikinya itu telah diceritakan oleh Asma binti Umais; "Pada suatu hari aku berada di rumah Siti Fatimah Azzahra.Tiba-tiba ketika itu Rasulullah s.a.w datang ke rumah Siti Fatimah.

Beliau yang memakai seuntai kalung emas pemberian suaminya Imam Ali bin Abi Thalib k.w. telah dilihat oleh Rasulullah s.a.w lalu Nabi s.a.w.berkata; "Hai anakku apakah engkau bangga disebut orang sebagai puteri Muhammad, sedangkan engkau sendiri memakai jaababirah ? "(perhiasan yang biasa dipakai oleh putri bangsawan).

Siti Fatimah melepaskan kalungnya itu, dan menjualnya. Hasil dari harga kalung tersebut telah membuatkan beliau membeli seorang hamba dan hamba tersebut dimerdekakan. Apabila Rasulullah s.a.w mendengar berita tersebut, Nabi s.a.w amat gembira dan mendoakan Siti Fatimah sekeluarga.

Siti Fatimah merupakan puteri kesayangan Nabi s.a.w mendapat gelaran Assidiqah (wanita terpercaya), Athahirah (wanita suci) al-Mubarakah (yang diberikahi Allah) dan yang sering disebutkan adalah Fatimah Azzahra(bunga yang mekar semerbak).

Siti Fatimah Azzahra dilahirkan pada hari Jumaat 20 Jamadilakhir tahun kelima sebelum Nabi s.a.w menjadi Rasul. Rasulullah s. a. w. dengan kata-katanya yang masyhur, "Wahai Fatimah, Gunung Uhud pernah ditawarkan kepadaku untuk menjadi emas, namun ayahanda memilih untuk keluarga kita kesenangan di akhirat

Hasil nukilan:
Sharizan bin Sabri
yaman.

karya ini adalah nukilan beliau.Anda juga dialu-alukan ke blog beliau
www.al-raudhah.blogdrive.com/.

30 December 2007

PERMATAKU...MTT

Sunyi...
Selubungi malam..
Mengusik minda nan terlontar jauh..
Masih hangat terasa..tangan yang membelai
Dan mengusik manja..
Daku damba kasihmu biar jadi pedoman
Buat Penyuluh Jalan ku gapai impian..

Angin..
Kau nyanyikan lagu..
Untuk PERMATAKU tenang selalu..
Bayu..
Sampaikan berita..
Daku kini ceria aman dan bahagia..
Selimutkan rinduku bersama malammu..

Hadirlah Dalam mimpiku..
Agar kau selalu ada di sisiku..
Rindu belaian kasihmu..
rindu senyumanmu
penawar dukaku..
Dengarlah laguku hadiah untukmu
Jasa dan ingatanmu ku kenang selamanya..

Dari :Abu Bakar Bin Mohamad Noor
Darul Quran JAKIM,
Kuala Kubu Bharu,Selangor