Dirimu digelar penyeri dunia-akhirat
Hadirmu pelengkap sirah manusia agung
Kelembutanmu bukanlah kelemahan
Akhlakmu menjadi peneduh harapan
Buat insan yang diciptakan
Bersuamikan Saidina Ali bukanlah satu kebanggaan yang menjanjikan kekayaan harta. Saidina Ali yang merupakan salah seorang daripada empat sahabat yang sangat rapat dengan Rasulullah s.a.w., merupakan kalangan sahabat yang sangat miskin jika dibandingkan denga sahabat yang lain.
Fatimah yang mewarisi akhlak ibunya Siti Khadijah tidak pernah membebani dan menyakiti suami dengan kata- kata atau sikap. Sentiasa senyum menyambut kepulangan suami hingga hilang separuh masalah suaminya.
Bukan Saidina Ali tidak mahu menyediakan seorang pembantu untuk isterinya, tetapi sememangnya beliau tidak mampu berbuat demikian. Dengan mas kahwin 400 dirham hasil jualan baju perang kepada Saidina Usman Ibnu Affan, Saidina Ali memulakan penghidupannya dengan wanita yang sangat dimuliakan Allah s.w.t.
Meskipun begitu, Fatimah cukup memahami akan kedudukan suaminya itu, malah beliau tidak pernah merungut dan saban hari bertungkus-lumus menguruskan anak-anak, memasak, membasuh dan menggiling tepung, dan apa yang lebih memenatkan lagi apabila terpaksa mengandar air berbatu-batu jauhnya sehingga kelihatan tanda di bahu kanan dan kirinya.
Suatu hari, ketika Rasulullah s. a. w. masuk ke rumah anaknya, didapati bahawa puterinya yang berpakaian kasar itu sedang mengisar biji-biji gandum dalam linangan air mata. Fatimah segera mengesat air matanya tatkala menyedari kehadiran ayahanda kesayangannya itu.
Lalu ditanya oleh baginda, "Wahai buah hatiku, apakah yang engkau tangiskan itu? Semoga Allah menggembirakanmu." Dalam nada sayu Fatimah berkata, "Wahai ayahanda, sesungguhnya anakmu ini terlalu penat kerana terpaksa mengisar gandum dan menguruskan segala urusan rumah seorang diri."
Baginda tersenyum seraya bangun mendapatkan kisaran tepung itu. Dengan lafaz Bismillah, Baginda meletakkan segenggam gandum ke dalam kisaran itu. Dengan izin Allah, maka berpusinglah kisaran itu dengan sendirinya.
Hati Fatimah cukup terhibur dan merasa sangat gembira dengan hadiah istimewa daripada ayahandanya itu. Jelas, baginda Rasulullah s.a.w mahu mendidik puterinya bahawa kesusahan bukanlah penghalang untuk menjadi wanita solehah.
Ayahandanya yang penyayang terus merenung puterinya dengan pandangan kasih sayang, "Puteriku, mahukah engkau kuajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kau pinta itu?" "Tentu sekali ya Rasulullah," jawab Siti Fatimah kegirangan. Rasulullah s. a. w. bersabda, "Jibril telah mengajarku beberapa kalimah.
Setiap kali selesai sembahyang, hendaklah membaca ´Subhanallah´ sepuluh kali, Alhamdulillah´ sepuluh kali dan ´Allahu Akbar´ sepuluh kali. Kemudian ketika hendak tidur baca ´Subhanallah´, ´Alhamdulillah´ dan ´Allahu Akbar´ ini sebanyak tiga puluh tiga kali."
Ternyata amalan itu telah memberi kesan kepada Siti Fatimah. Semua kerja rumah dapat dilaksanakan dengan mudah dan sempurna meskipun tanpa pembantu rumah. Hadiah istimewa itu daripada Allah s.w.t buat hamba-hamba yang hatinya sentiasa mengingatiNya.
Pernah ketika Nabi s.a.w. dihina, dimaki hamun, malah diletakkan najis binatang ketika Nabi s.a.w. sedang sujud, menyembah Allah s.w.t, dengan tangisan kesedihan Siti Fatimah membersihkan tubuh Nabi s.a.w. daripada kotoran yang ditaburkan oleh kaum Qurraish.
Siti Fatimah Azzahra telah mengorbankan seluruh hayatnya untuk kepentingan Islam dan Ummatnya. Siti Fatimah dengan setianya mendampingi suaminya Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib dalam keadaan suka dan duka.
Beliau telah berjaya mendidik kedua anakandanya Hasan dan Husain dengan akhlak dan budiperkerti yang mulia. Siti Fatimah senantiasa berusaha membantu fakir miskin dan mereka yang sangat mengharapkan pertolongan.
Beliau yang dibesarkan dalam asuhan dan didikan langsung ayahandanya yang tercinta Rasulullah s.a.w. menyebabkan tingkah laku dan tabiatnya menyerupai perwatakan ayahandanya.
Kehidupannya yang zuhud juga dan tekun beribadah adalah sifat yang dimiliki Fatimah Azzahra. Beliau menghayati hubungan yang ikhlas dengan Allah s.w.t.
Sifat mulia yang dimilikinya itu telah diceritakan oleh Asma binti Umais; "Pada suatu hari aku berada di rumah Siti Fatimah Azzahra.Tiba-tiba ketika itu Rasulullah s.a.w datang ke rumah Siti Fatimah.
Beliau yang memakai seuntai kalung emas pemberian suaminya Imam Ali bin Abi Thalib k.w. telah dilihat oleh Rasulullah s.a.w lalu Nabi s.a.w.berkata; "Hai anakku apakah engkau bangga disebut orang sebagai puteri Muhammad, sedangkan engkau sendiri memakai jaababirah ? "(perhiasan yang biasa dipakai oleh putri bangsawan).
Siti Fatimah melepaskan kalungnya itu, dan menjualnya. Hasil dari harga kalung tersebut telah membuatkan beliau membeli seorang hamba dan hamba tersebut dimerdekakan. Apabila Rasulullah s.a.w mendengar berita tersebut, Nabi s.a.w amat gembira dan mendoakan Siti Fatimah sekeluarga.
Siti Fatimah merupakan puteri kesayangan Nabi s.a.w mendapat gelaran Assidiqah (wanita terpercaya), Athahirah (wanita suci) al-Mubarakah (yang diberikahi Allah) dan yang sering disebutkan adalah Fatimah Azzahra(bunga yang mekar semerbak).
Siti Fatimah Azzahra dilahirkan pada hari Jumaat 20 Jamadilakhir tahun kelima sebelum Nabi s.a.w menjadi Rasul. Rasulullah s. a. w. dengan kata-katanya yang masyhur, "Wahai Fatimah, Gunung Uhud pernah ditawarkan kepadaku untuk menjadi emas, namun ayahanda memilih untuk keluarga kita kesenangan di akhirat
Hasil nukilan:
Sharizan bin Sabri
yaman.
karya ini adalah nukilan beliau.Anda juga dialu-alukan ke blog beliau
www.al-raudhah.blogdrive.com/.
No comments:
Post a Comment