22 November 2007

APAKAH PERBEZAAN UKHUWWAH DAN ASSABIYAH

Ukhuwwah terbit daripada perkataan akh yang bermaksud saudara. Oleh itu, ukhuwwah dapat didefinisikan sebagai tali persaudaraan. Islam amat mementingkan hubungan persaudaraan yang berlandaskan ikatan keagamaan.

Kepentingan ukhuwwah Islamiah atau perpaduan Islam sebagai tunggak sesebuah negara tergambar daripada langkah Rasulullah S.A.W. sendiri ketika pembentukan negara Islam yang pertama di Madinah.

Berbanding dengan ukhuwwah, assabiyah mempunyai konsep yang berbeza. Assabiyah berasal daripada perkataan taasaba, iaitu suatu perasaan kekitaan yang menebal tanpa mempertimbangkan unsur kebenaran dan kesalahan, baik dan buruk.

Fahaman assabiyah dikenali juga sebagai fahaman kesukuan amat kuat dipegang oleh masyarakat Arab sebelum Islam. Kesan daripada ketaksuban mereka terhadap keturunan dan suku masing-masing, peperangan sering terjadi antara suku dan keturunan yang berlainan.

Fahaman assabiyah ini ditolak oleh Islam kerana ianya bercanggah dengan dasar persaudaraan Islam. Tambahan pula fahaman assabiyah akan menyebabkan seseorang itu tidak mengambil kira pertimbangan akal dan agama.

Apakah Islam membenarkan cara yang tidak bersopan dan bertindak di luar batasan kesusilaan dalam menegakkan perjuangan dan kefahaman seseorang itu?

Islam menitik beratkan akhlak yang mulia. Di antara ciri akhlak yang mulia adalah menghubung tali silaturahim terhadap orang yang memutuskannya, memberi kepada orang yang menghalang dan memaafkan orang yang menzalimi kamu. Sesiapa yang mempunyai ciri tersebut adalah mencerminkan keteguhannya dalam beragama.

Peringatan yang diberikan dalam al-Quran secara nyata mengajak manusia supaya menjaga ikatan silaturahim dan persaudaraan berada dalam muhibah dan berkasih sayang. Menyuruh individu menjauhkan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan ikatan persaudaraan dan kejiranan.

Terdapat dua keadaan seseorang itu dibenarkan mendedahkan keburukan seseorang. Pertama jika dia tahu tentang kejahatan seseorang dan jika tidak diberitahu tentang keburukan orang itu nescaya ada orang yang akan menjadi mangsanya.

Kedua apabila mahkamah memanggil seseorang sebagai saksi untuk menjelaskan kedudukan tertuduh. Orang itu boleh mendedahkan keburukan seseorang demi menegakkan keadilan. Bagaimanapun keburukan seseorang itu tidak boleh dihebahkan untuk umum. Lebih-lebih lagi memaki hamun di khalayak ramai. Perbuatan demikian ditegah dalam Islam.
Back

Bagaimanakah caranya untuk membina dan mempereratkan lagi tali persaudaraan umat Islam yang semakin berpecah belah sejak akhir-akhir ini?

Dalam Islam, tidak ada bezanya antara seseorang itu dengan yang lain melainkan ketakwaan mereka kepada Allah SWT. Justeru itu, Islam melarang wujudnya perpecahan, apatah lagi sesama umatnya.

Perpecahan hanya akan melemahkan umat Islam. Apabila umat Islam menjadi lemah sudah tentu akan berlaku kerosakan dan kehancuran. Kalau kita merujuk kepada sejarah lampau pada era perang dunia pertama dan kedua, rata-rata umat Islam menjadi lemah dan dijajah.

Ini adalah disebabkan perpecahan yang amat ketara berlaku. Umat Islam bergaduh sesama sendiri tanpa memikirkan lagi persaudaraan. Ingatan daripada Allah supaya umat Islam bersatu padu seolah-olah dilupakan dan apabila berlaku penjajahan, pada waktu itu barulah umat Islam mulai sedar mengenai kepentingan perpaduan dalam kehidupan mereka itu.

Kita lihat satu contoh yang paling mudah, dalam sembahyang misalnya, umat Islam digalakkan sembahyang berjemaah. Kenapa? Jawapannya ialah kerana sudah tentu dengan adanya jemaah yang ramai, mereka akan melantik seorang ketua untuk menjadi imam.

Jemaah yang lain akan mengikut pergerakan imam sehingga sembahyang disempurnakan sepenuhnya. Di sini, kita dapat lihat dengan nyata unsur-unsur perpaduan

1 comment:

Unknown said...

👍👍👏👏